Tuesday, March 15, 2011

Dongeng Rakyat 55


Bini


Aku yakin, mesti kamu semua pernah alami apa yang aku rasa ni.... Pernah tak suatu hari, anda bangun dari tidur dan terasa seperti hendak ber'bini'? Ya! Itulah apa yang sedang aku alami sehingga hari ini. Aku tak boleh nak sisihkan naluri fitrah aku ini lagi. Tapi apakan daya aku juga insan biasa, punya kehendak yang perlu dipenuhi, punya impian yang tersendiri. Iri hati aku kepada kawan-kawan aku yang lain. Hampir semua mereka mempunyai `bini' masing-masing. Mana tak jelesnya ke hulu-hilir asyik berdua. Berpegangan kedua belah tangan lagi. Sama-sama bersusah payah meredah ranjau dan berhujan berpanas. Tatkala kaki ini melangkah dipayungi terik matahari menuju ke kuliyah, hati nakalku terdetik. Alangkah indahnya sekiranya `dia' turut sama menemani aku dikala ini. Tidaklah aku terasa kepenatan dan peluh berjalan kerana ada teman bicara. Dan jarak yang jauh pasti terasa dekat. Dan semua orang diperjalanan kami, pasti ada yang cemburu. Tak kurang juga yang memuji mengatakan kami pasangan yang ideal. Ahaha... Tapi ini semua hanyalah khayalan aku yang punya sempadan. Dari kejauhan aku ternampak sahabat karibku dengan pasangannya. Bukan main asyik dan mesra mereka. Sehingga mereka lalu melintasi aku, tidak sedar pun mereka yang aku di tepi jalan ini. Mentang-mentanglah `bini' dia tu cantik dan mengancam. Dengar khabarnya, `bini'nya keturunan Jepun tapi lahir di sini. Keintiman dan keakraban mereka inilah yang membulatkan tekad aku! Aku mesti cari satu juga!

Pulang ke kampung pada cuti semester, aku suarakan hasrat hatiku kepada ayahandaku kerana hanya dia yang arif dalam bab ini. Risau juga aku takut dibangkang niat suci murni aku ini. Terkejut aku apabila dia mengatakan memang selama ini dia berhasrat nak carikan jodoh untuk aku. Bonda tiada halangan kerana dia tahu ini untuk kebaikan aku juga. Tapi dengan siapa? Aku belum ada calon
lagi. Terpaksalah aku menyuruh ayahanda merisik sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai. Pada mulanya ayah aku meng'kenen'kan aku dengan seorang `janda' yang masih lagi muda. Ditinggalkan suaminya, setelah tak mampu nak bayar nafkah bulanan. Pendapat ayahanda, biarlah jodohku janda kerana maharnya pasti lebih murah nak dibandingkan anak dara sunti. Setelah puas membuat pertimbangan, aku menolak dengan lembut pilihan ayahku. Aku katakan pada ayah, biarlah maharnya mahal sekalipun, mungkin ini adalah yang pertama dan juga yang terakhir bagiku. Aku tak akan pasang dua, tiga atau empat. Aku akan berlaku adil dan setia.

Suatu petang ketika aku bersiar-siar di bandar seorang diri, di satu sudut ruang legar sebuah kompleks bangunan rasanya seperti aku telah terjumpa pasangan impian aku. Walaupun dia bersama-sama kawan-kawannya yang lain di situ, tapi hatiku hanya terpaut padanya. Dengan `body' yang cukup sempurna, lirikan mata yang menggoda dan 'dressing' yang mengancam, aku bagaikan terjumpa buraq kayangan. Setelah berbasa-basi dan berkenalan serba ringkas, diberinya aku foto gambarnya yang mempersonakan. Aku pulang ke rumah dengan senang hati sambil membawa gambarnya untuk ditunjukkan kepada orang tuaku. Ayah melihat dengan serius foto gambarnya. "Betui hang minat kat dia ni?" Tanya ayahku mencari kepastian. Aku mengangguk dengan yakin bahawa pilihan aku ini pasti tidak silap. Sambil itu, aku tidak ketinggalan menyulam janji manis yang aku akan menjaganya dengan baik. Menjaga makan pakainya dan sama sekali tidak berlaku curang. Bonda tidak kisah kerana nanti dia juga yang senang apabila dah ada menantu baru nanti. Senang dia nak ajak aku ke mana-mana nanti. Setelah melihat spesifikasinya dan keupayaannya, akhirnya ayah aku bersetuju untuk meminangnya untuk aku. Tapi bila? Aku pun tak tahu. Yang pasti aku akan ada `bini' baru. Alahai abah, kahwinkan aku cepat. Elok juga rasanya aku perkenalkan bakal isteri baru aku ini.


Inilah biodatanya:


Model
: BMW E36

Engine Capacity
: 1800 CC

Register year :
1996
Mileage
: 100 000 - 109 999

Transmission
: Auto

Accessories
: Solar Film, Sunroof, leather Seat, CD Player, Air bag, ABS Brakes, Central Lock, Sport Rims & etc.





|Faizzoth van der MoFa

Dongeng Rakyat 54

Kisah Si Bisu dengan Kumpulan Kongsi gelap

Sebuah kumpulan Kongsi Gelap menghadapi masalah untuk mengutip wang perlindungan
dari peniaga di kawasan mereka. Ini kerana pihak polis sering membuat intipan dan tangkapan. Lalu ketuanya mengupah seorang bisu untuk mengutip wang tersebut. Pada pendapatnya, tentulah polis sukar untuk menyoal siasat si bisu tersebut.

Maka si bisu pun mula mengutip wang dan berjaya memperolehi RM50,000.

Walaubagaimana pun, dia telah melarikan dan menyembunyikan wang tersebut di suatu tempat rahsia. Maka pada hari yang telah ditetapkan, ketua Kongsi Gelap mengarahkan orang-orangnya
memanggil si bisu. Apabila dipanggil, si bisu itu berpura-pura tidak dapat berkomunikasi dengan mereka. Lalu mereka mencari seorang pakar bahasa isyarat.

Kongsi Gelap : Mana wang tu?

Pakar menunjukkan isyarat kepada si bisu...

Si bisu menunjukkan isyarat untuk "Aku tak tahu apa yang mereka katakan."

Pakar bahasa isyarat memberitahu Kongsi Gelap tersebut. Dan Kongsi Gelap tersebut menghalakan pistol ke arah kepala si bisu.

Kongsi Gelap : Aku akan tembak kepala kau, bisu...

Si bisu menunjukkan isyarat "Duit RM50,000 tu aku telah sembunyikan di taman permainan
dibawah kerusi yang ketiga dari pintu masuk."

Pakar bahasa pun berkata kepada ketua Kongsi Gelap, "Dia tidak tahu dimana wang itu dan kalau kau nak tembak-tembaklah... "

|Faizzoth van der MoFa

Dongeng Rakyat 53


Kisah Tahanan ISA


Seorang bapa kecewa kerana anaknya ditahan ISA kerana dituduh terlibat dengan JI, menulis surat kepada anaknya.

Surat tersebut ditulis begini:

"Ajoi, bapakmu ini sudah tua, sekarang musim tanam jagung, dan kamu ditahan di penjara pula, siapa yang nak tolong bapak mencangkul kebun jagung ini?

Anaknya membalas surat itu beberapa minggu kemudian. "Bapak, jangan mencangkul kebun itu, saya telah tanam senjata di sana," kata si anak dalam surat itu.

Rupa-rupanya surat itu telah ditapis oleh pihak Penjara. Keesokan harinya selepas bapanya menerima surat anaknya, maka datanglah satu platon tentera .Tanpa membuang masa mereka segera ke kebun jagung dan seharian suntuk mencangkul tanah di kebun tersebut.

Setelah mereka semua pergi, kembali si bapa menulis surat ke anaknya. "Ajoi, setelah bapak terima suratmu, datang satu platon tentera mencari senjata di kebun jagung kita, namun tanpa sebarang hasil. Apa yang harus bapak lakukan sekarang?"

Si anak kembali membalas surat tersebut, "Sekarang bapak sudah boleh menanam jagung, kan sudah dicangkul oleh tentera, dan jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka."

Pihak penjara yang mengetahui perkara ini marah bukan kepalang kerana telah diperbodohkan.

|Faizzoth van der MoFa

Dongeng Rakyat 52

Ulang Tahun Perkahwinan

Sepasang suami isteri sedang menikmati makan malam yang indah ketika merayakan ulang tahun perkawinan mereka yang ke-50. Ulang Tahun Perkahwinan jubli Emas dengan 8 anak, 28 cucu dan 2 cicit.

Ketika menikmati pencuci mulut, si suami tiba-tiba teringat sesuatu dan kemudian menoleh ke arah isterinya dan bertanya, "Ada satu hal yang ingin ku tanyakan pada mu sejak sekian lama. Tapi aku merasa tidak selesa, jadi pertanyaan ini belum pernah ku lontarkan. Tapi malam ini, malam istimewa jadi ada baiknya aku tanyakan sekarang..."

"Apa sayang? Tanya saja. Kenapa mesti tidak selesa?", kata isterinya.

"Begini... anak kita yang nombor 4 tidak mirip dengan adik beradiknya yang lain. Apakah ayahnya berbeza?"

Isterinya terkejut mendengar pertanyaan tersebut. Ia menundukkan kepala dan tidak sanggup menatap wajah suaminya. "Ya" katanya mengaku, "Ayahnya berbeza"

Hening. Mata si suami di genangi air mata... "Ooh..." katanya sambil menahan sebak di dada, "Kalau begitu, boleh tak aku tahu siapa ayahnya?"


Hening lagi. Berbekalkan keberanian yang tersisa, si isteri menjawab, "Kamu sendiri"

|Faizzoth van der MoFa