Saturday, October 8, 2011

Dongeng Rakyat 72


Ramli

"Ayah! Ayah! Ramli score 2 gol hari ini..."

"Hei! Anak jiran sebelah tu score 9A tau!"

Aku yang sedang berada di bawah rumah agak terkejut mendengar herdikan kuat suara ayah Ramli. Aku lihat Ramli masuk ke dalam rumah dengan wajah sugul sambil memegang piala kecil ditangannya. Aku meneruskan kerja aku menolong ibu mengasingkan kekabu daripada bijinya. Nanti ibu bolehlah buat tilam. Tilam aku yang ada sekarang sudah keras. Apa tidaknya, hampir setiap hari kena basuh dan jemur. Ini dek kerana kerja adik aku yang suka sangat kencing malam. (He he....).

Kadang-kadang aku berasa amat bersalah pada Ramli. Dia kawan baik aku, kami sekelas. Di dalam kelas, aku selalu dapat nombor 1, manakala Ramli pula selalu dapat nombor sedang-sedang dari belakang sahaja. Inilah yang selalu dibandingkan oleh ayah Ramli. Ayah Ramli selalu menjadikan aku sebagai contoh apabila berceramah kepada Ramli.

Ramli suka main bola. Aku pun suka main bola. Cuma Ramli pandai menggelecek dan selalu score gol. Manakala aku pula suka main defence sahaja. Datang bola, aku rembat. Bola datang, aku clear. Itu sahaja tahap permainan bola aku.

Ayah Ramli garang. Dia kerja pejabat kerajaan. Keluarga mereka agak senang jika dibandingkan dengan keluarga aku. Ayah dan ibu aku hanya menoreh getah orang. Kais pagi makan pagi, kais sebulan, bayar hutang makan. Kadang-kadang ayah dan ibu aku terpaksa kais pagi dan petang apabila aku memberitahu mereka cikgu suruh beli buku-buku latihan.

Keluarga aku susah. Adik-beradik ramai. Aku sedar satu-satunya cara untuk merubah nasib keluarga adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Hasilnya, aku selalu score banyak A dalam peperiksaan. Dan kejayaan aku inilah yang menjadi hempedu kepada Ramli apabila ayahnya selalu meng'exaggerate' bilangan A yang aku dapat apabila memotivasi cum memarahi Ramli.

"Aku janji, aku akan buat ayah aku bangga suatu hari nanti," Ramli meluahkan perasaannya kepada aku di bawah pohon angsana di tepi padang pada suatu petang.

"Ramli... Aku pun mahu bahagiakan ibu bapa aku. Aku mahu buat mereka bangga. Kita sama-sama usaha ye Ramli," aku pun berkongsi impian dengan Ramli, kawan baik dan jiran aku itu.

Selepas SPM, aku dapat tawaran mengikuti A-Level di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Ramli pula bercadang untuk menyambung ke tingkatan 6 sastera di sekolah di kampung kami. Aku tahu Ramli sedih dan pedih. Rumah kami berdekatan. Aku dapat dengar butiran leteran ayahnya kepada Ramli hampir setiap hari. Dan sudah tentu, nama aku pasti akan digunakan oleh ayahnya untuk memotivasi Ramli.

Walaupun ayah Ramli garang, dia baik hati. Itu cara dia mendidik Ramli. Walaupun dia kerja pejabat kerajaan, dia bukannya berpangkat tinggi. Gajinya pun cukup-cukup makan sahaja. Jadi aku cukup faham kenapa dia mahu Ramli belajar bersungguh-sungguh. Dia tidak mahu Ramli apabila besar nanti, kerjanya selalu disuruh-suruh orang. Dia tidak mahu Ramli jadi sepertinya.

Habis A-Level, aku ke UMIST. University of Manchester Institute of Science and Technology. Ramli lah yang paling gembira apabila aku ke Manchester.

"Jangan lupa belikan aku jersi Man U, nombor 7 tahu," Ramli berpesan kepada aku sebelum aku meninggalkan kampung menaiki teksi ke Kuala Lumpur.

Tiada dalam jangkaan aku sama sekali untuk bertemu Ramli di Manchester. Dia menelefon aku untuk bertemu di Old Trafford. Tanpa membuang masa, aku bergegas ke Old Trafford dengan membawa jersi nombor 7 dengan nama Beckham yang telah aku beli lama dahulu. Sebenarnya aku bercadang untuk memberinya kepada Ramli apabila aku pulang ke tanah air nanti.

"Nah.... Jersi kau," aku menghulurkan jersi merah Man U kepada Ramli.

"Ini pula untuk kau...."

Agak pelik apabila Ramli menghulurkan jersi Man U kepada aku kerana aku yakin dia amat tahu yang aku tak minat Red Devils. Aku hanya minat Red Warriors dan Bolton Wanderers.

Terkejut aku apabila melihat nama Ramli terpampang di jersi bernombor 19 itu. Ramli juga memberikan aku sekeping tiket perlawanan sulungnya. Dan buat pertama kali aku bersorak untuk Man U dan Ramli score pada minit ke 87 dalam perlawanan sulungnya bersama Man U.

Kami sama-sama berjaya. Kami sama-sama buat ayah kami bangga. Kalau ibu Ramli masih ada, tentu diapun bangga dengan Ramli macam ibu aku bangga dengan aku sekarang.

Aku berjaya membina rumah baru untuk ayah dan ibu aku seperti yang aku selalu impikan. Rumah yang sederhana dan selesa walaupun tidak sebesar dan semewah rumah Ramli kerana gaji aku walaupun seorang graduan dari UK hanyalah seciput daripada gaji Ramli yang merupakan pemain bola kelab ternama Manchester United yang dibayar berpuluh-puluh ribu pound sterling seminggu. Ya, seminggu!





|Faizzoth van der MoFa

No comments: